Fahami Terma, Syarat Miliki Kad Kredit
MENGGUNAKAN kad kredit secara bijak adalah antara langkah penting untuk memastikan kedudukan kewangan anda sentiasa sihat. Kad kredit diibaratkan pisau tajam yang mempunyai banyak manfaat, tetapi jika disalahgunakan boleh melukakan anda.
Sebelum melangkah lebih jauh, mari kita fahami terlebih dulu apa itu kad kredit? Kad kredit ialah alat pembayaran secara elektronik yang membolehkan anda membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai.
Bagaimana pula kad kredit berfungsi? Ramai yang menggunakan kad kredit tetapi tidak mengetahui bagaimana ia berfungsi. Kad kredit yang ditawarkan kepada anda juga menyediakan kemudahan meminjam yang dikenali sebagai had kredit yang ditetapkan oleh pengeluar kad kredit.
Apabila anda menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membuat bayaran kepada peniaga bagi pihak anda. Kemudian pengeluar kad kredit akan meminta bayaran daripada anda melalui penyata bulanan yang dikeluarkan.
Pada amnya, anda akan diberi tempoh tanpa faedah antara 20 hingga 50 hari sebelum perlu membuat bayaran.
Kelebihan kad kredit ialah ia adalah instrumen yang berguna sekiranya anda tahu menggunakannya dengan bijak.
Anda boleh menikmati faedah seperti berikut:
- Kaedah pembayaran yang mudah dan cekap.
- Membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian (online).
Menggunakan penyata bulanan untuk menjejak perbelanjaan bagi tujuan merangka bajet.
- Ada kad kredit yang menyediakan perlindungan insurans kemalangan peribadi dan insurans perjalanan secara percuma, bergantung kepada jenis kad yang ditawarkan.
- Menikmati skim menarik seperti skim bayaran ansuran tanpa faedah, skim bayaran fleksibel dan pemindahan baki pada kadar 0 peratus untuk memaksimumkan pembelian anda.
- Memperoleh mata ganjaran untuk menebus barangan dan perkhidmatan yang biasanya tidak dapat dinikmati jika bayaran dibuat secara tunai.
Apa yang anda perlu ketahui mengenai kad kredit? Sebelum menggunakan kad kredit, anda perlu memahami terma dan syarat yang diberikan. Mari kita lihat terma dan syarat yang ditetapkan terlebih dulu:
- Had kredit
- Yuran dan caj
- Tempoh tanpa faedah
- Kemudahan pemindahan baki
- Skim bayaran fleksibel/skim tanpa faedah
- Liabiliti pemegang kad sampingan
Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan