Guna Wang Plastik Kena Berdisiplin
SEBELUM menggunakan kad kredit, anda perlu memahami terma dan syarat yang diberikan seperti berikut:
1. Had Kredit
Ini adalah had maksimum ditetapkan bagi setiap kad. Jika had ini habis digunakan, anda tidak boleh menggunakan kad sehingga anda menjelaskan sebahagian daripada bayarannya.
Lazimnya, had kredit adalah dua hingga tiga kali ganda pendapatan bulanan anda. Sekiranya anda menggunakakan had maksimum, ini bermakna anda sudah membelanjakan dua hingga tiga bulan pendapatan masa depan anda.
2. Yuran dan Caj
Ada pelbagai jenis yuran dan caj yang anda perlu fahami, termasuk:
> Yuran penyertaan
- Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran penyertaan sekali saja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu pengeluar kad dengan yang lain.
> Yuran tahunan
- Ini adalah yuran yang perlu dibayar apabila anda telah menerima kad kredit. Ada juga pengeluar kad kredit yang mengecualikan yuran ini jika anda memenuhi syarat penggunaan kad kredit anda.
> Caj kewangan
- Ini adalah caj yang dikenakan ke atas baki yang belum dijelaskan selepas tarikh akhir pembayaran dan dikira berdasarkan baki harian.
Pada masa ini, pemegang kad kredit dikenakan faedah secara bertingkat. Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisiplin. Kadar faedah bertingkat yang baru adalah seperti berikut:
- Rekod pembayaran balik
- Kadar faedah
- Pemegang kad yang menjelaskan bayaran minimum selama 12 bulan berturut-turut - sehingga 13.5 peratus setahun
- Pemegang kad yang menjelaskan bayaran minimum selama 10 bulan berturut-turut atau lebih 12 bulan - sehingga 16 peratus setahun
- Lain-lain - Sehingga 17.5 peratus setahun
Yuran pendahuluan wang tunai - Yuran ini dikenakan setiap kali pendahuluan wang tunai dilakukan dan biasanya antara tiga peratus hingga lima peratus. Yuran ini adalah caj kewangan tambahan dan dikira dari tarikh wang tunai berkenaan diambil.
Caj bayaran lewat - Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal menjelaskan jumlah minimum bulanan sebelum tarih akhir pembayaran yang ditetapkan. Jika anda membayar selepas tarikh ini, anda akan dikenakan caj kewangan (faedah ke atas baki belum jelas) dan caj bayaran lewat.
Cukai perkhidmatan - Bermula 2010, setiap kad kredit akan dikenakan cukai perkhidmatan tahunan sebanyak RM50 ke atas pemegang kad utama dan RM25 ke atas pemegang kad sampingan. Bayaran ini akan dimasukkan dalam penyata kad kredit anda.
3. Tempoh Tanpa Faedah
Boleh menikmati tempoh tanpa faedah, kebiasaannya antara 20 hingga 50 hari dari tarikh urus niaga mula direkodkan, sekiranya anda tidak mempunyai sebarang jumlah tertunggak dari bulan sebelumnya.
Sehubungan itu, sekiranya anda hanya membayar sebahagian atau jumlah minimum baki yang perlu dibayar, anda akan dikenakan faedah ke atas semua pembelian yang dibuat melalui kad kredit dari tarikh urus niaga direkodkan.
Ini bermaksud jika bil kad kredit anda tidak dijelaskan dengan sepenuhnya pada tarikh akhir pembayaran dan baki dibawa ke bulan berikutnya, anda tidak akan menikmati tempoh tanpa faedah.
Faedah akan dikenakan ke atas urus niaga yang seterusnya dan faedah ini akan dikompaunkan pada kadar harian sehingga baki dibayar sepenuhnya.
Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan